Saturday, June 3, 2017

Memulakan Bisnes Kecil Gaya Nabi

Nabi Muhammad memulakan bisnesnya yang pertama semenjak beliau masih berusia 8 tahun. Pada masa itu beliau tinggal di kampung bersama ibu angkatnya.


Pada usia itu beliau sudah melakukan apa yang disebut dalam istilah modern sebagai 'bisnes servis'.

Beliau mengambil upah daripada servis menjaga kambing-kambing milik penternak kambing yang mempunyai banyak kambing. Bererti penternak kambing itu adalah orang kaya di kampung itu.

Orang muda yang baru hendak menceburi dunia bisnes sebaiknya ikut pedoman dari sejarah kerjaya bisnes Nabi ini.

Banyak pedoman dapat disedut dari biografi Nabi berkenaan kelebihan memulakan bisnes pertama dalam sektor servis.

Kambing adalah contoh harta orang kaya. Jadi, ambil upah menjaga harta orang kaya. Ini panduan yang sangat penting.

Sebagai contoh:

+  Syarikat ABS Cuci Karpet PLT menawarkan servis penjagaan karpet orang-orang berduit.

+  Syarikat ABS Pest Control Sdn Bhd menawarkan servis membasmi anai-anai dan lain-lain serangga perosak yang merosakkan rumah orang kaya.

+  Syarikat Home Tuition ABS PLT menawarkan servis tuisyen kepada anak-anak orang kaya di rumah mereka sendiri. Anak-anak itu adalah harta orang kaya.

Orang muda lazimnya tidak mempunyai modal kewangan bagi membuka bisnes. Perkara ini menyebabkan banyak orang muda terjebak dengan hutang bank.

Banyak bisnes dapat dimulakan dengan tidak menggunakan modal wang. Ini yang sudah ditunjukkan oleh Nabi kepada kita.

Bisnes pertama Nabi patut sangat dijadikan panduan oleh orang-orang muda apabila memilih bisnes pertama:

Di bawah ini adalah ciri-ciri bisnes servis yang dijalankan oleh Nabi:

+  Dalam bahasa modern, Nabi memulakan bisnes secara lean startup, dengan menggunakan modal apa yang ada dalam tangan sahaja. Bisnes beliau yang pertama tidak memerlukan beliau membuat pinjaman!

+  Bisnes servis Nabi adalah dalam kategori personal service. Nabi sendiri yang menjalankan kerja-kerja menjaga kambing orang kaya itu. Jadi, orang muda patut menjual personal service.

+  Dalam istilah modern sekarang, Nabi membuat bisnes jenis bekerja sendiri, atau self-employment, atau freelancing. Maksudnya, Nabi tidak perlu mengupah orang lain, ataupun mengambil pekerja. Dengan itu kos memulakan bisnes ini amat kecil.

+  Nabi menjalankan servis itu dengan modal ilmu dan kemahiran yang ada pada beliau sendiri. Beliau pandai menjaga kambing, maka beliau jadikan itu sebagai modal bisnesnya. Dalam bahasa hari ini beliau menjual kepandaian beliau.

+  Dalam menjalankan bisnesnya, Nabi tidak perlu menggunakan alat kerja yang mahal, dengan sebatang kayu gembala pun sudah cukup.

+  Bisnes pertama Nabi itu tidak memerlukan Nabi pindah ke tempat lain. Beliau masih tinggal dengan ibu angkatnya. Dalam bahasa hari ini, bisnes Nabi itu termasuk dalam jenis yang dapat dijalankan dari rumah.

+  Nabi tidak memulakan bisnesnya dengan menyewa premis bisnes.

+  Nabi menjalankan bisnes servisnya di kampung halamannya itu selama 4 tahun sahaja. Pada usia 12 tahun beliau berpindah ke Mekah untuk tinggal bersama keluarga ayah saudaranya yang bernama Abu Talib.

.

Bisnes servis adalah bisnes yang bagus. Sektor servis tidak pernah tepu. Semakin tinggi pendapatan penduduk, semakin banyak servis yang mereka perlukan dan mereka beli.

Bagi orang kaya, mereka membeli banyak personal servis. Selagi servis itu dapat dibeli, mereka akan membelinya. Kuku mereka pun dipotong oleh orang lain!

Tidak begitu halnya dengan sektor pembuatan dan pengeluaran produk. Sektor ini mudah tepu.

Nota kaki:

Kanak-kanak sudah patut digalakkan belajar mencari duit sendiri pada usia 8 tahun. Mereka sudah boleh mengambil upah dengan membuat kerja yang mereka pandai lakukan. Pelajar sekolah sudah boleh mengambil upah dari kawan-kawan mereka yang datang dari keluarga berharta.


.

5 comments:

Syarikat Sdn Bhd

Kos mengurus syarikat sendirian berhad adalah tinggi. Biarpun bisnes rugi, kos-kos pengurusan itu tetap terpaksa ditanggung. Untuk...