Tuesday, June 20, 2017

Strategi Pengurusan Profit Centre

Mengurus syarikat dengan mengaplikasi strategi 'profit centre' sudah terbukti lebih efektif.

Dalam strategi ini, semua unit membayar kos operasi dan gaji masing-masing.

Dengan itu setiap unit mesti membuat keuntungan. Ini yang disebut 'profit centre' atau 'pusat keuntungan'.


Dalam mazhab pengurusan lama, ada unit yang menjadi profit centre. Ada unit yang menjadi cost centre.

Staf profit centre bekerja membuat profit. Duit dari profit itu digunakan bagi membayar kos operasi dan gaji staff di cost centre.

Dalam mazhab lama, banyak syarikat menanggung kerugian apabila jumlah staff yang bekerja membawa masuk duit lebih kecil daripada jumlah staff yang gajinya mesti mereka bayar.

Dalam syarikat SME, fenomena macam itu masih berleluasa.

Yang bekerja membawa masuk duit tidak berapa kerat. Mereka itu yang bertanggungjawab bekerja keras bagi menanggung kos operasi seluruh syarikat.

.

Sunday, June 18, 2017

Elemen Gharar dalam Membuat Pelaburan

Apabila kita memberi wang kepada anak muda untuk membantu dia membiayai perniagaannya, kita mesti menetapkan perkara di bawah ini:

1.  Apakah kita memberikan wang itu sebagai wang yang dipinjamkan?


Jika ya, mesti disebutkan cara bagaimana wang pinjaman itu semestinya dipulangkan.


Atas faktor bahawa wang itu dipinjamkan, maka meskipun bisnes itu rugi, wang itu mesti dipulangkan. Hutang mesti bibayar.


Juga bagaimana caranya kita selayaknya menerima keuntungan, andainya bisnes itu nanti membuat keuntungan.


Perkongsian keuntungan itu boleh diberikan sebagai hadiah atau hibah.


Jika perniagaan anak muda itu rugi, maka tiadalah sebarang hadiah untuk dikongsikan.


.


2. Apakah kita memberikan wang itu sebagai wang yang kita laburkan dalam bisnes anak muda itu?


Jika ya, wang yang dilaburkan tidak perlu dipulangkan.


Sebagai pelabur kita mesti sanggup menerima risiko bahawa wang kita itu mungkin selamat, mungkin tidak selamat.


Dalam kes pelaburan kita mesti menetapkan bagaimana keuntungan ataupun kerugian akan diperkongsikan dengan anak muda itu.


.


Bagi pihak anak muda itu, dia mesti berhati-hati apabila menerima duit atas nama 'pembiayaan' perniagaan.


Dia mesti pastikan apakah wang pembiayaan itu (a) duit pinjaman, yakni hutang yang mesti dipulangkan, ataupun (b) duit pelaburan, yakni tidak perlu dipulangkan.


Ini kerana, ada pihak-pihak yang memberikan duit modal 'pembiayaan' yang mempunyai ciri-ciri 'duit pinjaman' dan juga ciri-ciri 'duit pelaburan'.


Dalam kes begitu, terdapat unsur gharar, yakni unsur tidak jelas, tidak precise, tidak tepat.


Si pemberi modal itu berkata dia mahu menjadi 'pelabur', tetapi dia tidak mahu menanggung risiko rugi. Dia mahu duit modal pelaburannya itu dipulangkan, macam duit hutang.


Pada masa yang sama, walaupun dia mahu menjadi 'pelabur' tetapi setiap bulan dia mahu membuat 'keuntungan' daripada duit pelaburannya itu. Dia tidak mahu rugi.


Dalam kes macam itu, anak muda menanggung 100% risiko. Si 'pelabur' langsung tidak menanggung risiko.


Keuntungan yang diperoleh tanpa sebarang risiko adalah tidak syariah compliant.


.

Boleh Kita Mendapat Keuntungan daripada Duit yang Dipinjamkan

Banyak orang bisnes masih keliru apabila kita bercakap tentang hukum-hakam meminjamkan duit kepada orang lain.

Mereka keliru tentang hukum menerima 'keuntungan' daripada duit yang dipinjamkan. Mereka anggap semua keuntungan daripada duit yang dipinjamkan adalah 'riba'.


Lalu banyak orang berpendapat, asal sahaja kita meminjamkan duit, kita tidak boleh mendapat sebarang keuntungan daripada hasil meminjamkan duit itu. Kata mereka, jika kita mendapat keuntungan, hukumnya adalah haram.


Orang yang mengatakan semua jenis pinjaman duit tidak boleh menghasilkan keuntungan kepada si pemberi pinjaman adalah orang yang tidak membuat klasifikasi jenis-jenis pinjaman duit, dan tujuan-tujuan memberi pinjaman duit.


Mereka itu tidak membezakan perkara-perkara di bawah ini:


1.  Ada perbezaan antara:


(a) Mendapat keuntungan dari hasil mengenakan riba. Riba memang haram. Kita tidak boleh mengenakan riba atas duit yang dipinjamkan.


(b) Mendapat keuntungan dari hasil keuntungan perniagaan. Aktiviti bisnes mampu menghasilkan keuntungan. Kentungan bisnes bukan riba.


2.  Ada perbezaan antara:


(a) Memberi pinjaman duit untuk membantu orang yang betul-betul dalam kesusahan, sebagai contoh orang itu meminjam untuk tujuan membeli makanan keluarganya, ataupun untuk membayar yuran persekolahan anaknya.


(b) Memberi pinjaman duit kepada orang yang memerlukan modal perniagaan. Pinjaman jenis ini adalah untuk tujuan membiayai perniagaan si peminjam.


3.  Ada ciri-ciri yang jelas antara antara: (a) riba, dan (b) keuntungan. Yang paling utama adalah di mana riba itu sudah ditetapkan kadarnya.


4.  Ada perbezaan antara:


(a) Memberi pinjaman duit yang tidak berisiko langsung kepada si pemberi pinjaman. Maksudnya, si pemberi pinjaman mendapat keuntungan dengan tidak menanggung risiko langsung. Semua risiko ditanggung oleh pihak yang meminjam. Yang ini hukumnya tidak syariah compliant.


(b) Memberi pinjaman duit yang mempunyai risiko kepada si pemberi pinjaman. di mana si pemberi pinjaman mungkin mendapat keuntungan dan dia juga mungkin menanggung kerugian. Yang ini syariah compliant.


.

Saturday, June 17, 2017

Siri 2 Melabur dalam Bisnes Usahawan Muda

Ini satu lagi cara kita boleh melabur dalam bisnes anak muda yang tidak mempunyai modal wang bagi memulakan bisnesnya. Ambil contoh ini. Anak muda itu mahu membuka kedai salun rambut perempuan, tetapi dia tidak mempunyai modal wang. Kita mempunyai wang. Anak muda itu menyewa rumah kedai. Jadi kedai itu disewa atas namanya. Kita yang merenovasi premis itu. Kita belikan perabot dan alat-alat kerjanya. Kos semua itu RM30k. Kita hanya memimjamkan kepada anak muda itu modal RM30k untuk kos renovasi. Kedai yang sudah direnovasi itu kita serahkan kepada anak muda itu. Dia akan membayar sewa kedai itu tiap bulan. Dia akan membayar semula jumlah RM30k yang sama kepada kita dalam tempoh 5 tahun. Tiada riba dikenakan. Setiap tahun, apabila bisnesnya membuat keuntungan, kita akan terima 30% dari keuntungan itu. Jika rugi, kita tidak dapat apa-apa. Model bisnes ini sangat jelas. Kita memimjamkan duit modal tanpa riba. Jika untung, kita mendapat keuntungan. Jika rugi, kita tidak dapat apa-apa. Dalam model ini, tidak ada unsur gharar. ROI yang kita terima datang dari perkongsian keuntungan. Model ini syariah compliant.

Siri 1 Melabur dalam Bisnes Usahawan Muda

Ada banyak cara kita boleh melabur dan sekaligus membantu orang muda menjalankam bisnesnya. Ambil contoh ini. Seorang anak muda mahu membuka pusat tuisyen tetapi dia tidak mempunyai wang bagi membuka pusat itu. Kos yang diperlukan adalah 30k ringgit. Andainya kita mempunyai banyak wang, kita boleh menyewa rumah kedai, merenovasinya, membelikan semua peralatan dan perabot, lalu disewakan kepada anak muda itu. Kita menyewa rumah kedai itu 2k sebulan. Modal kita merenovasi adalah 30k. Kita sewakan 3.5k sebulan selama 3 tahun kepada anak muda itu. Jadi, model bisnes amat jelas. Kita menyewa premis dan kita sewakan semula. Kita membuat keuntungan dari situ. Dalam model ini, kita menanggung risiko yang tinggi. Bisnes anak muda itu belum tentu mampu membayar sewa bulanan kepada kita sedangkan kita terpaksa membayar sewa kepada pemilik premis. Jika bisnes anak muda itu bungkus, risiko kita lebih besar jika tidak dapat mencari penyewa baru. Model bisnes ini adalah syariah compliant. Tiada unsur gharar dalam model ini.

Thursday, June 8, 2017

Bisnes Trading Gaya Nabi

Selama 20 tahun Nabi Muhammad melibatkan diri dalam aktiviti bisnes, yakni semenjak usia 8 tahun sehingga 38 tahun, beliau melibatkan diri dalam 4 sektor ekonomi:

+  Sektor servis agronomi

+  Sektor servis pengurusan dana
+  Sektor perdagangan import-eksport
+  Sektor pembuatan produk konsumer

Dalam artikel ini, kita analisis aktiviti trading beliau sahaja.


Dalam bukunya yang terkenal Sejarah Hidup Muhammad, Muhammad Husain Haekal melaporkan antara barang dagangan Nabi adalah gandum, tali, kain, dan kulit.


Beberapa ibrah yang dapat dipelajari daripada aktiviti bisnes Nabi:


+  Nabi menjalankan perdagangan import dan eksport antarabangsa. Wilayah perdagangan beliau meliputi 9 buah bandar dan negeri. Produk seperti gandum, tali, kain, dan kulit adalah produk sektor agronomi. Iklam kota Mekah yang kering kontang tidak mempunyai sektor agronomi.


+  Empat produk yang beliau perdagangkan itu mewakili 4 sektor produk keperluan asas.


Gandum mewakili sektor makanan. Di sini, gandum adalah makanan ruji, iaitu makanan asas yang mengenyangkan.


Tali mewakili sektor alat kerja.


Kain mewakili sektor tekstil. Perlu diingat, sektor tekstil bukan sektor pakaian atau fesyen.


Kulit mewakili sektor bahan binaan, di mana pada masa itu kulit digunakan sebagai bahan utama membuat khemah. Kulit juga adalah barang pertengahan, di mana banyak produk diperbuat daripada kulit.


.


Wednesday, June 7, 2017

Bisnes Servis Gaya Nabi

Nabi Muhammad menjalankan bisnes dalam 3 sektor utama:

+  Sektor servis

+  Sektor trading
+  Sektor manufacturing atau pembuatan

Untuk artikel ini kita mengkaji sektor servis yang beliau jalankan sahaja. Bisnes trading dan manufacturing akan diterangkan dalam artikel lain.


Nabi Muhammad menjalankan 2 jenis servis:


+  Servis dalam sektor agronomi.


Servis ini beliau jalankan semasa masih tinggal di kampung bersama ibu bangkatnya. Waktu itu beliau masih amat muda.


Beliau mengambil upah menjaga kambing milik penternak kaya. Beliau menjalankan bisnes servis ini selama 4 tahun sahaja, iaitu bermula usia 8 tahun sehingga 12 tahun. Pada usia 12 tahun beliau keluar meninggalkan kampungnya lalu berpindah ke kota Mekah.


+  Servis dalam sektor fund management atau pengurusan dana.


Pada usia 18 tahun, Nabi Muhammad memulakan bisnesnya sendiri. Beliau menjalankan bisnes di mana beliau menguruskan dana kliennya. Bermakna beliau menjalankan bisnes dalam sektor kewangan.


Klien beliau yang pertama bernama Khadijah. Selepas Khadijah, jumlah klien beliau bertambah banyak.


.


Dalam konteks ekonomi modern hari ini, Nabi Muhammad menjalankan servis sebagai seorang fund manager.


Yang berbeza adalah bentuk 'fund' pada zaman itu dan bentuk 'fund' dalam zaman sekarang.


Pada zaman sekarang 'fund' itu adalah dalam bentuk wang tunai. Manakala pada zaman Nabi, fund itu adalah dalam bentuk 'barangan' berharga.


Tuesday, June 6, 2017

Perjalanan Bisnes Nabi

+  Pada usia 8 tahun Nabi sudah mengambil upah menjaga kambing milik orang kaya. Ini berlaku di kampung semasa beliau tinggal bersama ibu angkatnya.

+  Pada usia 12 tahun Nabi pindah ke Mekah dan tinggal bersama ayah saudaranya yang bernama Abu Talib, seorang trader yang berjaya. Nabi menjadi pembantu Abu Talib apabila beliau pergi berdagang.


+  Pada usia 18 tahun Abu Talib memperkenalkan Nabi kepada Khadijah, seorang investor yang terkenal dan kaya-raya. Khadijah menjadi pelabur yang membolehkan Nabi memulakan bisnesnya sebagai trader.


+  Pada usia 36 tahun Nabi dengan sahabatnya membuka kilang pengeluaran produk daripada kulit.


+  Pada usia 38 tahun Nabi berhenti daripada aktiviti perdagangan dan memulakan kehidupan spiritual, sebagai persediaan menerima wahyu.


+  Pada usia 40 tahun Nabi menerima wahyu pertama sekaligus menjadi Rasul.


+  Antara usia 40 hingga 53 tahun Nabi menjalankan kerja-kerja dakwah sepenuh masa, langsung tidak melakukan kerja bisnes sama sekali.


+  Pada usia 53 tahun Nabi berpindah ke Madinah. Di Madinah beliau menjadi ahli ekonomi yang membangunkan ekonomi Madinah.


.

Rakan Niaga Gaya Nabi

Nabi Muhammad sudah melibatkan diri dalam menjalankan aktiviti berbisnes semenjak usia 8 tahun.

Apabila beliau berusia 38 tahun beliau berhenti berbisnes. Beliau memulakan kehidupan spiritual selama 2 tahun dalam fasa persediaan sebelum menerima wahyu.


Beliau kemudian menjadi Rasul pada usia 40 tahun. Selama beliau menjadi Rasul, beliau tidak menjalankan aktiviti bisnes.


Beliau menjalankan bisnesnya sendiri selama 20 tahun, yakni semenjak berusia 18 tahun sehingga 38 tahun.


Atas faktor beliau berdagang sebelum Islam diturunkan, bermakna business associates beliau adalah individu-individu bukan Islam.


Nabi Muhammad menjalankan bisnes perdagangan beliau di 9 buah bandar dan negeri. Business associates terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, budaya dan kepercayaan agama.


Beberapa ibrah yang dapat diambil dari biografi beliau adalah:


+  Beliau menjalankan bisnesnya dengan cara berkolaborasi dengan pihak-pihak bukan Islam.


+  Beliau belajar ilmu-ilmu bisnes perdagangan dari guru dan mentor bukan Islam.


+  Beliau menjadi pembantu dalam syarikat milik pedagang bukan Islam.


+  Beliau memperdagangkan barang-barang yang diamanahkan oleh klien bukan Islam.


+  Beliau membeli mercandais daripada pembekal-pembekal bukan Islam.


+  Beliau menjual mercandais kepada pelanggan-pelanggan bukan Islam.


+  Beliau berdagang di bandar-bandar dan negeri-negeri yang penduduknya bukan Islam.


+  Pelabur, pembekal, pelanggan, rakan sekafilah beliau bukan Islam.


+  Beliau bergerak dalam kafilah besar bersama-sama dengan pedagang-pedagang lain yang bukan Islam.


Daripada ibrah itu jelaslah dalam dunia bisnes, adalah bijaksana apabila bisnes dijalankan secara terbuka, tidak terbatas kepada satu-satu suku kaum, bangsa ataupun agama.


.

Saturday, June 3, 2017

Memulakan Bisnes Kecil Gaya Nabi

Nabi Muhammad memulakan bisnesnya yang pertama semenjak beliau masih berusia 8 tahun. Pada masa itu beliau tinggal di kampung bersama ibu angkatnya.


Pada usia itu beliau sudah melakukan apa yang disebut dalam istilah modern sebagai 'bisnes servis'.

Beliau mengambil upah daripada servis menjaga kambing-kambing milik penternak kambing yang mempunyai banyak kambing. Bererti penternak kambing itu adalah orang kaya di kampung itu.

Orang muda yang baru hendak menceburi dunia bisnes sebaiknya ikut pedoman dari sejarah kerjaya bisnes Nabi ini.

Banyak pedoman dapat disedut dari biografi Nabi berkenaan kelebihan memulakan bisnes pertama dalam sektor servis.

Kambing adalah contoh harta orang kaya. Jadi, ambil upah menjaga harta orang kaya. Ini panduan yang sangat penting.

Sebagai contoh:

+  Syarikat ABS Cuci Karpet PLT menawarkan servis penjagaan karpet orang-orang berduit.

+  Syarikat ABS Pest Control Sdn Bhd menawarkan servis membasmi anai-anai dan lain-lain serangga perosak yang merosakkan rumah orang kaya.

+  Syarikat Home Tuition ABS PLT menawarkan servis tuisyen kepada anak-anak orang kaya di rumah mereka sendiri. Anak-anak itu adalah harta orang kaya.

Orang muda lazimnya tidak mempunyai modal kewangan bagi membuka bisnes. Perkara ini menyebabkan banyak orang muda terjebak dengan hutang bank.

Banyak bisnes dapat dimulakan dengan tidak menggunakan modal wang. Ini yang sudah ditunjukkan oleh Nabi kepada kita.

Bisnes pertama Nabi patut sangat dijadikan panduan oleh orang-orang muda apabila memilih bisnes pertama:

Di bawah ini adalah ciri-ciri bisnes servis yang dijalankan oleh Nabi:

+  Dalam bahasa modern, Nabi memulakan bisnes secara lean startup, dengan menggunakan modal apa yang ada dalam tangan sahaja. Bisnes beliau yang pertama tidak memerlukan beliau membuat pinjaman!

+  Bisnes servis Nabi adalah dalam kategori personal service. Nabi sendiri yang menjalankan kerja-kerja menjaga kambing orang kaya itu. Jadi, orang muda patut menjual personal service.

+  Dalam istilah modern sekarang, Nabi membuat bisnes jenis bekerja sendiri, atau self-employment, atau freelancing. Maksudnya, Nabi tidak perlu mengupah orang lain, ataupun mengambil pekerja. Dengan itu kos memulakan bisnes ini amat kecil.

+  Nabi menjalankan servis itu dengan modal ilmu dan kemahiran yang ada pada beliau sendiri. Beliau pandai menjaga kambing, maka beliau jadikan itu sebagai modal bisnesnya. Dalam bahasa hari ini beliau menjual kepandaian beliau.

+  Dalam menjalankan bisnesnya, Nabi tidak perlu menggunakan alat kerja yang mahal, dengan sebatang kayu gembala pun sudah cukup.

+  Bisnes pertama Nabi itu tidak memerlukan Nabi pindah ke tempat lain. Beliau masih tinggal dengan ibu angkatnya. Dalam bahasa hari ini, bisnes Nabi itu termasuk dalam jenis yang dapat dijalankan dari rumah.

+  Nabi tidak memulakan bisnesnya dengan menyewa premis bisnes.

+  Nabi menjalankan bisnes servisnya di kampung halamannya itu selama 4 tahun sahaja. Pada usia 12 tahun beliau berpindah ke Mekah untuk tinggal bersama keluarga ayah saudaranya yang bernama Abu Talib.

.

Bisnes servis adalah bisnes yang bagus. Sektor servis tidak pernah tepu. Semakin tinggi pendapatan penduduk, semakin banyak servis yang mereka perlukan dan mereka beli.

Bagi orang kaya, mereka membeli banyak personal servis. Selagi servis itu dapat dibeli, mereka akan membelinya. Kuku mereka pun dipotong oleh orang lain!

Tidak begitu halnya dengan sektor pembuatan dan pengeluaran produk. Sektor ini mudah tepu.

Nota kaki:

Kanak-kanak sudah patut digalakkan belajar mencari duit sendiri pada usia 8 tahun. Mereka sudah boleh mengambil upah dengan membuat kerja yang mereka pandai lakukan. Pelajar sekolah sudah boleh mengambil upah dari kawan-kawan mereka yang datang dari keluarga berharta.


.

Syarikat Sdn Bhd

Kos mengurus syarikat sendirian berhad adalah tinggi. Biarpun bisnes rugi, kos-kos pengurusan itu tetap terpaksa ditanggung. Untuk...